Kluster Sri Petaling bakal tamat tidak lama lagi
PUTRAJAYA: Selepas kira-kira 14 hari tanpa kes baharu dicatatkan Kluster Perhimpunan Sri Petaling, kluster berkenaan dijangka tamat dalam tempoh terdekat.
Kluster berkenaan yang mula dikesan pada 9 Mac lalu, kini hanya mempunyai satu kes aktif.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya menjangkakan kluster itu akan tamat dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) hanya dimaklumkan mengenai kewujudan kes membabitkan perhimpunan peserta tabligh di Masjid Sri Petaling itu, lapan hari selepas perjumpaan itu, iaitu pada 9 Mac lalu.
Katanya, ketika itu, kebanyakan peserta tabligh sudah pulang ke kampung halaman atau ke luar negara.
"Kalau kita lihat, dalam tempoh empat bulan kita memang dikejutkan dengan Kluster Sri Petaling. Tindakan kita adalah tindakan bersepadu dengan semua pihak yang mengesan dan mengawal penularan jangkitan dalam kalangan jemaah.
"Kalau kita lihat ada 34 kematian dan kita berharap mungkin dalam tempoh seminggu dua, dapat tamatkan Kluster Sri Petaling.
"Kerjasama daripada jemaah tabligh juga baik dengan tampil melaksanakan ujian saringan," katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, seramai 3,375 kes positif COVID-19 direkodkan dalam kluster itu membabitkan lima generasi.
"Sebanyak 3,340 kes disahkan pulih manakala 34 telah meninggal dunia," katanya.